Wenger intai penyerang

BOLOS.. Eduardo (tengah) melakukan sepakan percuma yang menghasilkan gol awal menentang Portsmouth.

PORTSMOUTH: Arsene Wenger mungkin mendapatkan seorang penyerang pada musim perpindahan Januari depan biarpun Arsenal sudah memecahkan rekod 50 jaringan musim ini berikutan kemenangan selesa ke atas pasukan tercorot, Portsmouth 4-1.

Eduardo, Samir Nasri, Aaron Ramsey dan Alex Song menghadiahkan jaringan buat Gunners di Fratton Park, awal pagi semalam, sekali gus menyaksikan Arsenal kini ketinggalan hanya empat mata kepada pendahulu Chelsea dengan kelebihan satu perlawanan.

Begitupun, Wenger mendedahkan beliau kekurangan pilihan penyerang berikutan kecederaan Nicklas Bendtner serta Robin van Persie manakala Theo Walcott masih bergelut mengembalikan kecergasannya.

Klaas-Jan Huntelaar yang tidak lagi menjadi pilihan AC Milan mungkin menjadi sasaran Wenger dan pengurus itu terkejut apabila pasukan yang kekurangan barisan penyerang masih mampu menduduki senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

Wenger berkata: “Saya sering terbaca di akhbar dan orang ramai turut memberitahu saya yang kami perlu mendapatkan penggegar gawang, tapi kami mempunyai barisan penyerang terbaik, jadi saya sendiri tidak tahu.

“Wujud keadaan rasional yang mengelirukan dalam bola sepak dan ketika kami berdepan masalah di bahagian serangan, anda dapati tiada pasukan lain menjaringkan gol sebanyak kami.

“Kami mempunyai pemain yang tahu bagaimana menggerakkan bola dan meletakkan diri untuk berada dalam posisi berbahaya, tapi kami masih mahu mendapatkan penyerang,” katanya.

Tanpa kehadiran van Persie, Bendtner, Walcott dan kapten pasukan Cesc Fabregas, pasukan utara London itu masih memberikan persembahan bertenaga ketika menentang Portsmouth.

Mereka mendahului dengan dua gol sebelum tamat separuh masa pertama menerusi sepakan percuma Eduardo yang melantun ke gawang selepas terkena Younes Kaboul dan pemain tengah Perancis, Nasri melakukan penyudahan cantik untuk jaringan pertamanya dalam saingan liga sejak Mac lalu.

Pemain tengah Wales, Ramsey menambah jaringan dengan aksi memukau menerusi sepakan kaki kiri tepat ke gawang sejurus babak kedua bermula.

Bagaimanapun, Fabregas dijangka kembali dalam tempoh dua minggu dan Wenger menolak spekulasi Ramsey sudah bersedia menggantikan tempat pemain Sepanyol itu,

“Satu-satunya cara mengatasi masalah kecederaan ialah menurunkan pemain muda seperti Ramsey. Dia beraksi cemerlang ketika menentang Portsmouth yang jelas sekali memberikan tentangan sengit.

“Saya fikir Ramsey boleh bermain di posisi bek kanan, sayap kiri, tengah dan juga semua posisi. Cesc mampu merancang permainan, tapi kedua-duanya memiliki perwatakan menarik di padang, keupayaan mendapatkan bola dan menjadikan kehadiran mereka dirasai,” katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment

 
The Gunner's © 2010 | Designed by Chica Blogger | Back to top