Wenger sedia korbankan piala FA demi EPL

LONDON: Arsene Wenger mengakui beliau bersedia untuk mengorbankan peluang Arsenal menjuarai Piala FA demi untuk memastikan mereka berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad bimbingan Wenger itu akan menyeberangi London apabila menentang West Ham pada pusingan ketiga Piala FA esok yang selalunya menjadi keutamaan bagi pengurus Arsenal itu.

Wenger sudah menjulang trofi itu empat kali dalam tempoh 13 tahun di Utara London dan kali terakhir kelab itu memenangi trofi utama pada 2005.

Dengan situasi itu sentiasa berlegar di fikiran, Wenger memberi keutamaan kepada gelaran liga dan merancang menurunkan barisan kedua di Upton Park walaupun terpaksa berdepan risiko tersingkir di peringkat awal.

Cesc Fabregas, Robin van Persie, Theo Walcott dan Denilson terpaksa diketepikan kerana kecederaan, namun Wenger turut akan merehatkan beberapa pemain lain seperti Mikael Silvestre dan Lukasz Fabianski yang jarang beraksi.

“Saya akan merehatkan beberapa pemain, itu sudah pasti,” kata Wenger. “Kami mahu menang, tapi kami mahu memberi tumpuan dalam perlawanan dengan Bolton di gelanggang sendiri dan juga Everton bagi mengekalkan momentum.

“Liga Perdana lebih penting berbanding Piala FA. Liga Perdana lebih sukar kerana kamu perlu menjaga kedudukan.

“Ketika ini kami mahu mengekalkan semangat dan sikap untuk memastikan kami berpeluang.

“Prestasi setiap musim dinilai menerusi kejayaan keseluruhan dan orang ramai mahu melihat siapa yang memenangi trofi, juga bagaimana kami melakukannya dan bagaimana kami mengekalkan permainan yang bagus.” - AFP

0 comments:

Post a Comment

 
The Gunner's © 2010 | Designed by Chica Blogger | Back to top